TASEK GELUGOR, 25 Julai- Tidak mustahil rakyat membuat pilihan tepat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kerana telah sedar semua janji manis yang ditaburkan ketika PRU ke-14 adalah tidak realistik.
Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan berkata PRU sebelum ini mengundang perasaan tidak rasional dan rakyat telah membuat kesilapan besar dengan memilih Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, episod hitam itu kini bertambah cerah dengan revolusi Barisan Nasional dalam menyelesaikan masalah harian rakyat seperti sediakala.
"PRU yang lepas adalah pilihan raya yang penuh emosi dan kurang rasional. Namun, pada saat ini, masa sekarang saya yakin rakyat telah mula sedar dengan segala janji palsu pihak pembangkang. Rakyat dah mula sedar, buktinya menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, kemenangan buat Barisan Nasional di Melaka, Sabah, Johor dan Sarawak," kata Mohammad kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pusat Daerah Mengundi Pulau Pinang, di sini.
Hadir sama kepimpinan kanan Barisan Nasional pusat serta negeri.
Datuk Mohammad Hassan yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, melahirkan keyakinan bahawasanya sekiranya jentera di Pulau Pinang mengemas kini cara perkhidmatan yang lebih efektif kepada rakyat, tidak mustahil untuk Barisan Nasional kembali mengemudi kerajaan negeri dalam PRU akan datang.
(Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan berkata
demikian selepas Majlis Pelancaran Jentera Pusat Daerah Mengundi Pulau Pinang)