LAHAD DATU, 25 November - Barisan Nasional (BN) memberi jaminan untuk menamatkan isu tiga serangkai iaitu air, jalan dan elektrik di Sabah dalam tempoh lima tahun sekiranya parti itu diberi mandat pada pilihan raya negeri akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa rakyat Sabah, khususnya di Felda Lahad Datu, berhak menikmati kemudahan asas yang setara dengan negeri lain.
"Maka saya minta di Sabah, berikanlah peluang semula kepada calon-calon Barisan Nasional. Insya-Allah jika diberi mandat, kita akan membuktikan untuk tempoh lima tahun akan datang, kita akan bekerjasama dengan gagasan-gagasan parti-parti yang lain. Bina semula Sabah, untuk membetulkan keadaan...sebab masalah tiga serangkai, jalan, api, air..kenapa? Negeri lain boleh selesai, kenapa gangguan air setiap hari, setiap minggu? Adakah kerajaan persekutuan tidak memberikan peruntukan?Memberikan peruntukan.
"Saya boleh baca berapa banyak peruntukan yang diberikan untuk air, saya lihat untuk selesaikan masalah isu air di Sabah, RM1 bilion telah diluluskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri). Betul, untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik, RM1.2 bilion telah telah diperuntukkan pada kerajaan Sabah, untuk Southern Lane, jalan RM765 juta telah diberikan, untuk Pan Borneo fasa 1B RM1.60 bilion telah diselesaikan,"
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Permuafakatan Komuniti Felda Wilayah Sahabat di Dataran Expo Felda Wilayah Sahabat Lahad Datu, di sini hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa BN akan menumpukan pembangunan sekolah dan infrastruktur pendidikan di kawasan Felda serta seluruh Lahad Datu, selaras dengan keperluan penduduk.
BN juga komited untuk bekerjasama dengan Putrajaya dan kementerian berkaitan bagi memastikan Felda Sabah kembali menerima tumpuan pembangunan.