fb fb fb fb fb

Perak bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM1.61 bilion

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membentangkan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini/ BERNAMA

IPOH, 25 November - Belanjawan Negeri Perak bagi tahun 2026 dianggarkan berjumlah RM1.61 bilion yang merupakan tertinggi dalam sejarah negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata peruntukan itu meliputi belanja bagi Maksud Mengurus sebanyak RM1.045 bilion dan Pembangunan RM568 juta.

Pelaksanaan belanjawan berkenaan dirangka berdasarkan unjuran Hasil dan Terimaan Pembangunan yang mencecah RM1.518 bilion iaitu peningkatan RM80 juta berbanding belanjawan sebelumnya.

"Dalam beberapa tahun yang penuh gejolak, terutamanya antara 2019 hingga 2021, kewangan negeri diuji dengan cabaran yang bukan kepalang. Namun, dengan disiplin fiskal yang tegas dan pengurusan kewangan yang berhemat, Perak terus berdiri kukuh meskipun ada pihak yang cuba menggambarkan keadaan sebaliknya. Hakikatnya, negeri ini telah membuktikan keupayaannya untuk mengurus sumber secara bertanggungjawab,"

Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan Negeri Perak tahun 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Meneruskan tema Pelan Perak Sejahtera 2030, “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera”, Belanjawan 2026 memfokuskan kepada lima perkara utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar dan Keterjaminan Bekalan Makanan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN