KUALA PILAH, 15 Julai - Pembinaan blok tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2026.
Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkata, projek berkenaan sebelum ini diklasifikasikan sebagai projek sakit kerana kelewatan melebihi 90 hari, terutamanya akibat kekurangan tenaga kerja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun selepas rundingan semula bersama kontraktor dan pemberian tempoh baharu, projek itu kini telah mencapai lebih 90 peratus kemajuan dan kembali mengikut jadual.
Menurut beliau projek bernilai RM153 juta itu akan membantu mengurangkan kesesakan di bangunan sedia ada, dengan menempatkan pelbagai perkhidmatan pakar.
“Blok enam tingkat ini akan menempatkan perkhidmatan ortopedik, bedah dan perubatan yang kini beroperasi di bangunan lama,” katanya selepas melawat tapak pembinaan blok tambahan HTAN, hari ini.