fb fb fb fb fb

Bioeconomy Corporation sasar pelaburan baharu bernilai RM1.32 bilion

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Julai- Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) menyasarkan pelaburan baharu bernilai RM1.32 bilion pada Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan (Nbioshowcase) 2024.

Ia bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Julai ini.

Agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu turut menyasarkan jumlah sumbangan pendapatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM2 bilion oleh industri bioteknologi dan berasaskan bio tahun ini.

Menurut Menteri MOSTI, Chang Lih Kang, sasaran pelaburan dan pendapatan itu mampu dicapai berdasarkan perkembangan serta kerjasama signifikan yang disaksikan dalam sektor kesihatan, perindustrian dan pertanian berasaskan bioteknologi di Malaysia setakat ini.

"Dari Januari hingga Mei 2024, industri ini telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dimana sejumlah RM1.5 bilion pendapatan dan RM838 juta pelaburan baharu telah dicapai.

"Ia dibawa syarikat-syarikat bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia dengan harapan mencari pelabur yang berpotensi," katanya kepada pemberita di sini.

Membawa tema ‘Bioekonomi untuk Semua’, ia menghimpunkan lebih 80 pempamer dengan jangkaan 4,000 pelawat termasuk pelajar, orang awam dan usahawan.

Acara berkenaan dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal menyaksikan pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) dan kerjasama penggerak industri bioteknologi daripada sektor awam dan swasta, yang turut melibatkan pihak dari luar negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM