KUALA LUMPUR, 2 Julai - Penjelasan berkaitan hala tuju Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dalam meningkatkan pelaburan domestik antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi portal Parlimen, soalan mengenai perkara itu dibangkitkan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) kepada Perdana Menteri dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Muhammad Bakhtiar ingin tahu hala tuju KIGIP bagi meningkatkan pelaburan domestik yang selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, tetapi dalam masa yang sama perlu mengimbangi keperluan kawasan berdekatan seperti masalah bekalan air di Seberang Perai Selatan.
Pada sesi yang sama Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bertanya kepada Perdana Menteri tentang perkembangan terkini indikator baharu dalam mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah yang digerakkan pada Mac 2024.
Rosol juga ingin tahu program yang telah dilaksanakan kerajaan berdasarkan dapatan daripada indikator baharu terbabit.
Pada sesi soal jawab lisan pula, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah berkesan bagi menyelesaikan isu pendatang tanpa izin di Sabah.
Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) pula meminta penjelasan Menteri Kewangan berkaitan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI atau Budi MADANI kepada pemilik kenderaan diesel M40 dan B40.
Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung penggulungan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi Tahun 2021 dan 2022.
Selain itu, turut tersenarai dalam aturan mesyuarat hari ini adalah bacaan kali pertama empat rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.
Dua lagi ialah Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.
Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini.-BERNAMA