KUCHING, 22 Ogos - Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak akan diadakan di Lasar Kenyalang, Lapangan Terbang Lama Bintulu secara fizikal pada 16 Sept ini dan dijangka dihadiri 5,000 jemputan.
Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom yang bertanggungjawab untuk sambutan itu berkata ia penting bagi memperingati peristiwa bersejarah pada 16 Sept 1963.
"Justeru itu, marilah kita suburkan patriotisme tanpa berbelah bahagi bagi merealisasikan masa depan yang makmur ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri dan kibarkanlah Jalur Gemilang di premis-premis perniagaan atau kediaman bagi memeriahkan sambutan ini," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir pada sambutan itu.
Rundi juga berkata Hari Malaysia 2022, yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama, amat signifikan dalam memperingati perjuangan para pemimpin terdahulu.
"Obor perjuangan pemimpin ini harus dijadikan pembakar semangat untuk negara dan setiap rakyatnya teguh bersama dalam perjuangan fasa endemik COVID-19 ini," katanya.
Antara pengisian pada malam sambutan pada tahun ini ialah persembahan nyanyian artis tempatan dan tanah air negara, tarian, koir dan ritma Malaysia.
Sambutan Hari Sarawak juga akan bersiaran secara langsung melalui TVS saluran 122 Astro dan myFreeview serta Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan YouTube UKAS Channel. - BERNAMA