fb fb fb fb fb

Bilik Gerakan Khas MAFI diaktifkan bagi persediaan banjir

PASIR PUTIH, 26 Oktober- Bilik Gerakan Khas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diaktifkan bagi menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka pada November depan.

Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, bilik gerakan tersebut akan memantau cuaca dan laporan terkini berkait bencana tersebut.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan itu.

Katanya, pihaknya juga telah mengarahkan pegawai serta anggota jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan untuk memantau golongan petani, penternak dan nelayan di kawasan yang berisiko.


(Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) I,
Datuk Seri Ahmad Hamzah)

"Kita telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang dianggap berisiko kepada banjir. Kita hendak kalau boleh pasukan penyelamat, anggota-anggota MAFI pastikan kita hendak matlamat kita mengurangkan kerosakan akibat banjir", katanya pada sidang media Hari Ladang IADA Kemasin Semerak- BERNAS 2022 di KPA Lubok Tembesu, Bachok, Pasir Puteh, Kelantan.

Terdahulu, pada program tersebut seramai 500 orang pesawah didedahkan mengenai program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi, sekali gus meningkatkan pendapatan golongan itu.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Ahmad berkata, MAFI akan sentiasa berusaha sedaya upaya bagi membantu dan menggerakkan aset serta kemudahan yang ada pada bila-bila masa.

Katanya, MAFI juga akan memberikan bantuan kewangan bagi meringankan beban golongan yang berkemungkinan terkesan akibat banjir mengikut tempoh penanaman mereka.

Media Baharu