fb fb fb fb fb

PerantiSiswa: PM rayu pelajar jangan jual, bentuk hukuman jika jual belum dibincang

(PerantiSiswa diberikan kepada pelajar institut pengajian tinggi dari keluarga B40 dalam usaha
memudahkan proses pembelajaran pada era digital kini. Tablet Galaxy Tab A8 diberikan
bersama papan kekunci dan juga stylus kepada mereka yang menerimanya)


KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Bentuk hukuman terhadap pelajar yang didapati menjual semula PerantiSiswa Keluarga Malaysia belum diputuskan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.berkata,  kerajaan juga belum memutuskan sama ada mrengambil tindakan menyenaraihitamkan pelajar terbabit.

“Setakat ini, kita tidak membincangkan lagi dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM). Perkara itu mereka akan tengok kembali,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Media City yang dikenali sebagai Angkasapuri Kota Media di sini.

Ismail Sabri turut menyeru pelajar yang menerima bantuan kemudahan itu agar tidak menjualnya demi mencapai hasrat kerajaan membantu pelajar golongan B40.

"Pemberian peranti siswa tanpa syarat pemulangan adalah bagi kemudahan pelajar.

"Jadi janganlah mencari keuntungan jangka pendek dengan menjual PerantiSiswa kerana jangka panjang lebih penting bagi mereka untuk menggunakannya demi meningkatkan mutu pembelajaran demi masa depan.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang mengesahkan berlakunya kes penjualan semula peranti siswa diperolehi di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melakukannya.

Katanya pihaknya mengesan 14 kes penjualan semula PerantiSiswa yang dilaporkan di seluruh negara.

(Pemberian PerantiSiswa adalah bagi mencapai hasrat kerajaan membantu pelajar golongan B40)

"Pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Ada tindakan tertentu akan diambil terhadap penjual peranti, contohnya paparkan nama secara terbuka untuk pengetahuan umum di portal perantisiswa atau maklumkan kepada pihak universiti,”katanya.

PerantiSiswa diberikan kepada pelajar institut pengajian tinggi dari keluarga B40 dalam usaha memudahkan proses pembelajaran pada era digital kini. Tablet Galaxy Tab A8 diberikan bersama papan kekunci dan juga stylus kepada mereka yang menerimanya.

Media Baharu