fb fb fb fb fb

Bilangan penduduk di PPS Kelantan meningkat, banjir di Terengganu semakin pulih

Foto fail

KUALA LUMPUR, 27 November - Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan meningkat sedikit kepada 718 orang daripada 204 keluarga, setakat pukul 8.00 pagi ini berbanding 709 orang daripada 201 keluarga malam semalam.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat PPS dibuka melibatkan dua jajahan iaitu di Pasir Mas menempatkan 232 orang daripada 79 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan 65 orang daripada 19 keluarga masih berlindung di PPS Kedai Tanjong.

"Di jajahan Bachok pula, seramai 67 orang daripada 16 keluarga berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, manakala 354 orang daripada 90 keluarga berada di SK Jelawat," menurut portal itu.

Sementara itu, di Terengganu situasi banjir semakin pulih dengan 225 penduduk daripada 49 keluarga ditempatkan di lima PPS di empat daerah setakat 8.00 pagi ini.

"Seramai 112 orang daripada 25 keluarga masih berlindung di sebuah PPS di daerah Besut manakala di Kuala Terengganu, berbaki 54 orang daripada 12 keluarga yang masih ditempatkan di sebuah PPS.

"Selain itu, di Dungun seramai 50 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di dua PPS manakala di Setiu hanya sembilan orang daripada dua keluarga masih berada di PPS SK Kampung Rhu Sepuluh," menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu.

Sementara itu, paras air sungai di stesen-stesen utama negeri ini berada pada paras normal kecuali Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus yang mencapai tahap waspada dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman yang mencecah tahap amaran.

TETITIA YUSOFF