fb fb fb fb fb

Biasiswa Kursi Jamalullail sasar 50 penerima, peringkat ijazah kedoktoran

ARAU, 5 Jun- Biasiswa Kursi Jamalullail yang diwujudkan sejak 7 Februari 2019 bermatlamat memberikan 50 biasiswa kepada rakyat Malaysia dan antarabangsa untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah kedoktoran di UIAM.

Selain itu ia juga bertujuan untuk melonjakkan penyelidikan dalam bidang-bidang tersebut bagi menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi oleh komuniti setempat.

Menurut Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Emeritus, Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak, sehingga kini seramai 38 orang pelajar peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sedang mengikuti pengajian masing-masing di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah program Biasiswa Kursi Jamalullail.

Sebanyak 24 projek dibawah Geran Penyelidikan Jamalullail membabitkan topik-topik Pembangunan ekonomi asnaf zakat yang melibatkan fakir dan miskin, Pendidikan, Autisme, Pelancongan, Pengurusan Masjid, Pengurusan Kubur dan Pembangunan Ekonomi Ibu Tunggal telah dilaksanakan.

Beliau mempersembahkan laporan berkenaan ketika majlis sembah mengadap ke atas Raja Perlis,Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau.

Tuanku Syed Sirajuddin menitahkan rasa bangga kerana hasrat penubuhan Kursi Jamalullail berkenaan telah menunjukkan impak positif dalam mensejahterakan ummah dan hasil sumbangan zakat dapat terus dikembangkan bagi meningkatkan syiar Islam.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis,Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

 

Media Baharu