fb fb fb fb fb

Berlagak marshal, tujuh lelaki didakwa



PORT DICKSON, 11 Januari- Tindakan tujuh lelaki yang berlagak sebagai marshal sehingga menghalang lalu lintas akhir tahun lalu membawa padah apabila kesemua mereka didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini.

Ezy Effandy Mohd. Harif, 46 tahun, yang merupakan ahli perniagaan bersama rakannya, Mohammad Zaini Mohamed, 50 tahun, didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memotong kenderaan lain ketika berada di garisan berkembar.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu yang menunggang motosikal berkuasa tinggi didapati telah memotong kenderaan lain di laluan jalan raya bergarisan kembar yang bertentangan dengan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59(Kaedah 12(3)(A)(Kesalahan di garisan berkembar).

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.10 pagi di Sungai Raya – Tanjung Agas pada 5 Disember 2021.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama.

Dalam prosiding sama, kedua-dua Orang Kena Saman bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu menimbulkan ketidakselesaan dan aksesori kenderaan mereka boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Kesalahan itu dilakukan pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dengan masing-masing didakwa mengikut Seksyen 48(1) APJ 1987 dan Seksyen 119 (2) APJ 987 dan dibaca bersama Seksyen 128(1) akta yang sama.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, lima lelaki mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menghalang lalu lintas.

Mengikut pertuduhan, A.Vinoth, 27 tahun, K.Lohansharma, 27 tahun, S. Kumaran, 31 tahun, R.Devah, 27 tahun dan A.Siva Perunal, 48 tahun, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi didakwa menahan kenderaan lain ketika berada di lampu isyarat yang mana perbuatan itu membahayakan keselamatan orang lain.

Kelima-lima mereka yang bekerja sebagai pemandu lori, penghantar surat dan penyelia melakukan kesalahan itu pada pukul 5.45 petang di lampu isyarat Sua Betong pada 20 November 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala kelima-lima mereka diwakili peguam, K.Sheela.

Mahkamah menetapkan kes akan disebut semula pada 9 Februari depan.

Media Baharu