JELEBU, 11 Januari - RM1.4 bilion diperuntuk bagi kerja baik pulih infrastruktur kritikal membabitkan hampir seribu jalan rosak, jambatan runtuh dan runtuhan cerun susulan bencana banjir di seluruh negara.
Antaranya pembaikan cerun runtuh di 449 lokasi, banjir (443 lokasi), banjir kilat (62 lokasi) dan masing-masing lima lokasi melibatkan jalan mendap, jambatan rosak atau runtuh.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerja pembersihan di 928 lokasi telah selesai dan dibuka sekurang-kurangnya satu lorong kepada pengguna.
"Kerja kritikal ni ialah untuk kita siapkan supaya jalan ni dapat dibuka dan sebahagian lagi kerja cerun kita kena baiki dan sebagainya.
"Diharapkan, paling lewat yang susah sikit tu menjelang Jun tahun ini sasaran kita siapkan.
"Mana yang dapat disiapkan awal kita akan siapkan awal yang penting untuk kita buka jalan-jalan supaya perhubungan ni tidak terputus", kata Fadillah semasa melawat jambatan Bailey (jambatan mudah alih pasang siap) di Kampung Bemban, di sini.