PUTRAJAYA, 24 Jun- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), menggesa semua pihak berkepentingan dalam industri pelancongan untuk memberi perhatian khusus dan melabur lebih banyak dalam pasaran industri pelancongan Islam negara.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan, Malaysia mempunyai kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk memajukan sektor Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH).
Jelas beliau, hebahan dan promosi produk pelancongan Islam di Malaysia sempena 'Minggu Pelancongan Islam' buat julung kalinya menjadi platform terbaik ke arah industri pelancongan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.
(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri)
"Jadi ini adalah di antara perkembangan terbaru melalui Islamic Tourism Centre' (ITC), kalau kita lihat pencapaian ITC selama ini banyak sudah dilakukan, walaupun ia satu badan yang kecil tapi jadi satu tempat tumpuan untuk menganjurkan program-program yang juga boleh menarik pelancong dari luar negara terutama, dari negara Islam yang mencari tempat untuk mereka pergi melawat, untuk mereka melihat mempelajari lebih kepada sejarah Islam dan juga budaya Islam di negara kita," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Minggu Pelancongan Islam di Putrajaya.
Pada masa sama, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara 'Islamic Tourism Centre' (ITC) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Minggu Pelancongan Islam berlangsung dari 20 Jun hingga 3 Julai depan.