JULAU, 9 Ogos – Lebih RM300 juta diluluskan bagi membangunkan prasarana di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan, termasuk projek naik taraf jalan raya dan kemudahan awam untuk penduduk setempat.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan tersebut merangkumi RM92 juta bagi naik taraf Jalan Nanga Lasi, Balut dan Suchong, RM80 juta untuk naik taraf Jalan Lijan, serta RM150 juta bagi naik taraf Jalan Nanga Entaih dan 13 jalan penghubung di kawasan berkenaan.
“Hadiah hari jadi saya kepada kitak semua ialah tiga projek ini yang keseluruhannya berjumlah RM322 juta. Ini akan meningkatkan prasarana di kawasan tok,” katanya.
Selain itu, beliau turut meluluskan pembinaan tempat parkir kenderaan bertingkat di Pekan Julau bagi menampung pertambahan kenderaan di daerah tersebut.
Abang Johari berkata demikian ketika merasmikan Jambatan Nanga Lasi hari ini.
Jambatan keluli sepanjang 96 meter itu dibina menggantikan jambatan gantung lama yang uzur, sekali gus menyediakan laluan lebih selamat, pantas dan selesa kepada penduduk.
Pembinaan jambatan tersebut memberi manfaat kepada lebih 2,200 penduduk termasuk penghuni beberapa rumah panjang, pelajar SK Nanga Lasi serta pengguna Klinik Nanga Lasi.
Ia juga menghubungkan kawasan Nanga Lasi Balut ke Rh. Ason, Rh. Langgi dan Suchong, serta memudahkan pergerakan penduduk dan barangan ke Pekan Julau, Sarikei dan Sibu.