SIMPANG AMPAT, 9 Ogos - Pengusaha durian kampung di Pulau Pinang digalakkan mendaftar hasil pertanian menerusi platform ‘Track and Trace’.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata ia bagi memudahkan urusan mempromosikan jenis durian tersebut di samping durian terkemuka sedia ada, sekali gus mampu memberi nilai tambah kepada durian tersebut selari dengan jenis durian terkemuka dari negeri itu.
"Jabatan Pertanian melihat pendaftaran lebih banyak durian kampung yang menepati kriteria kriteria yang ditetapkan supaya didaftarkan dan diberikan nama.
"Ini adalah usaha-usaha untuk tambah nilai produk durian kita di peringkat akar umbi, sebab dengan pendaftaran ianya akan menarik minat penggemar durian untuk mencuba", katanya kepada media selepas merasmikan Program Durian Outreach di Permatang Tinggi.
Hadir sama, Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.
Setakat ini, sistem pemantauan pintar durian ‘Track and Trace’ menerima 30 peratus pendaftaran daripada 200 pekebun durian berdaftar di Pulau Pinang sejak dilancarkan pada 1 Jun lalu.