fb fb fb fb fb

Kerajaan jamin pantau kestabilan harga BTS kelapa sawit

PORT DICKSON, 24 Jun- Kerajaan memberi jaminan untuk memantau kestabilan harga Buah Tandan Segar (BTS) kelapa sawit yang mengalami kejatuhan sejak kebelakangan ini.

Harga BTS Kelapa Sawit itu dipercayai turun hingga ke paras RM1,000 satu tan metrik pada Jun berbanding mencecah RM1,800 pada harga tertinggi pasaran tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng, pelbagai faktor menyumbang kepada keadaan itu yang memberi kesan langsung kepada industri komoditi berkenaan terutamanya pekebun kecil.

Dalam pada itu, pihaknya akur dengan kebergantungan harga BTS Kelapa Sawit terhadap pemintaan dan penawaran antarabangsa selain faktor cuaca serta kekurangan tenaga kerja.

"Kerajaan akan melihat bagaimana kalau dapat, kita hendak stabilkan harga itu lebih penting daripada harga makin tinggi makin bagus untuk rakyatkan tapi inilah realiti yang berlaku.

"Jadi kita masih lagi melihat perkara ini, kami akan pastikan dan memantau seterusnya apa yang berlaku,"kata Wee.

Beliau mengulas laporan media berhubung penurunan harga BTS Kelapa Sawit secara mendadak pada bulan ini sehingga mendatangkan keresahan kepada lebih 100,000 peneroka Felda di seluruh negara.

Terdahulu, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng merasmikan kiosk dan melancarkan Buku Manual Pembinaan Kiosk daripada Wood Plastic Composite (WPC).

Projek usaha sama antara Majlis Perbandaran Port Dickson, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia serta pengeluar produk WPC tempatan itu merupakan projek penggalak pasaran dan promosi produk WPC sebagai alternatif kepada kayu dalam industri pembinaan.

Ia dihasilkan melalui produk biokomposit mesra alam menggunakan dua bahan asas utama iaitu gentian semula jadi dan plastik.


(Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng pada sidang media selepas merasmikan kiosk dan
melancarkan Buku Manual Pembinaan Kiosk daripada Wood Plastic Composite)

Media Baharu