KUALA LUMPUR, 30 April - Persiapan menyambut Aidilfitri sememangnya menjadi kelaziman kepada semua masyarakat yang meraikannya.
Tidak kira tua atau muda, semuanya akan bergaya sakan dengan seragam baharu.
Tidak ketinggalan, bagi pencinta kucing, si comel itu juga perlu digayakan bagi ‘menyambut’ lebaran bersama tuannya.
Pemilik kucing, Muizz Nasruddin berkata sudah menjadi rutin harian sejak 3 tahun lalu untuk menjaga dua ekor kucing yang dikenali sebagai Zeus dan Luna.

"Dari segi pemakanan, minuman, ubat kena fikir semua itu untuk kucing bukan itu sahaja dia ada rutin-rutin setiap bulan yang kita kena buat...kena bawa pergi klinik...dia ikut kemampuan masing-masing untuk kucing itu," katanya.
Atas faktor sayangkan kucing juga, kucing kesayangannya itu turut dibelikan pakaian khas sedondon dengan songkok sempena Aidilfitri yang disambut minggu lalu.
"Sudah macam anak sendirikan, saya adalah buat persiapan raya dimana saya akan beli baju-baju raya untuk kucing-kucing saya. Tahun lepas baju raya warna biru, tahun ini warna krim-krim kuning. Jadi saya sudah belikan untuk mereka, hari raya pertama saya pakaikan dan ambil gambar," kata Muizz.
Bagi Muizz saat bersama Zeus dan Luna semestinya menjadi saat manis saban tahun setiap kali tibanya hari raya selain menyambutnya bersama keluarga sendiri.