KUALA LUMPUR ,14 Mei - Harga Beras Putih Import (BPI), akan diselaraskan kepada RM2,600 per tan metrik di seluruh negara berkuat kuasa 15 Mei 2025.
Ia sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup dan menjamin kestabilan bekalan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata, pelarasan itu melibatkan semua pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tahun lalu, harga BPI telah diturunkan daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik pada Disember.
Jelas beliau, keputusan ini dibuat hasil libat urus kementeriannya bersama BERNAS, dengan mengambil kira kelangsungan rantaian bekalan dan perkembangan pasaran global.
Dalam masa sama, program subsidi BPI bagi Sabah dan Sarawak akan diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan seperti biasa.
Menurut Datuk Seri Mohamad Sabu, langkah BERNAS mempelbagaikan sumber bekalan dari Vietnam, Thailand dan Myanmar mampu mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal.
KPKM juga akan terus memantau pelaksanaan dasar bagi memastikan kepentingan rakyat dan keterjaminan makanan negara sentiasa terpelihara.