fb fb fb fb fb

Bendung budaya sebar berita palsu, pastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia - PM

PUTRAJAYA, 30 Julai- Budaya menyebarkan berita palsu terutama menerusi media sosial harus dikawal dan dibendung.

Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perkara itu perlu diambi tindakan sebelum menjadi satu amalan yang boleh memporak-perandakan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Gejala menyebarkan berita palsu atau berita tidak benar terutamanya menerusi media sosial harus dikawal dan dibendung sebelum ia menjadi satu amalan yang boleh memporak-perandakan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Gunakanlah sosial media secara berhemah untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan ucapan-ucapan murni kepada rakan taulan, majikan dan keluarga sendiri," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022, di sini hari ini.

Perdana Menteri turut menyeru seluruh Keluarga Malaysia menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan mewarnai dan menghiasi setiap premis dengan Jalur Gemilang bagi mencerminkan rasa cintakan tanah air.

"Selain mengibar Jalur Gemilang, cara lain untuk membuktikan cinta kepada negara termasuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri, bekerjasama dan mengamalkan toleransi, mendukung segala inisiatif kerajaan dan amalan menyebarkan berita yang benar dan sahih," jelasnya.

(Ismail Sabri berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan
dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Putrajaya, hari ini)

Tambah Ismail Sabri, sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan ini pelbagai program telah diatur dan bakal diadakan termasuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

Ia akan disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Melaka pada 16 September.

"Istimewanya Bulan Kebangsaan ini ialah kita akan menyaksikan penyertaan seluruh Keluarga Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di merata-rata tempat seperti kawasan perumahan, kediaman, pejabat, sekolah dan banyak lagi.

"Saya gembira melihat suasana sebegini kerana ia akan menaikkan semangat patriotisme dalam diri kita untuk meneruskan perjuangan dalam mengekalkan kebebasan yang dikecapi sejak 31 Ogos 1957," kata beliau.

Media Baharu