KUALA LUMPUR, 12 Mac- Kerajaan masih belum membuat keputusan sama ada untuk membatalkan kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) atau tidak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya masih lagi meneliti perkara itu termasuk melihat kemajuan projek, sebelum membuat sebarang keputusan.
"Perkara ini memerlukan penelitian, sudah tentu sebuah projek yang berskala besar begitu ada beberapa parameter sebelum keputusan nak teruskan atau nak batal.
"Nak sebut batal mudah tetapi mesti ada asasnya, asas itu mesti berpaksikan kepada apakah kayu ukurnya atau indikator," katanya.
(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail)
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, pada Sabtu.
Menurut Saifuddin pihaknya ada membincangkan perkara berkait kontrak sistem itu dan syarikat terlibat dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Kabinet juga telah mengarahkan kementeriannya untuk membuat satu syor tentang status projek tersebut bagi dicadangkan kepada Jemaah Menteri.
Sebelum ini, sebuah portal melaporkan bahawa Jemaah Menteri telah memutuskan untuk membatalkan projek NIISe yang diberikan kepada IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan menantu bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Laporan berkenaan yang memetik sumber menyatakan bahawa projek itu mengalami kelewatan dan hanya 10 peratus daripada projek itu siap walaupun telah ditawarkan pada 2020.