fb fb fb fb fb

Adakan lebih banyak majlis selawat, munajat - PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak semua pihak untuk mengimarahkan majlis-majlis ilmu seperti selawat dan munajat di seluruh negara.

Usaha itu perlu diterapkan dalam masyarakat bagi meningkatkan ilmu dan kefahaman mengenai agama Islam.

"Sebab itu saya mengambil peluang untuk meraikan para habaib dan masyahir, untuk bersama dan mengajak rakan-rakan di seluruh negara menjadikan majlis ini majlis yang segar.

"Biar Malaysia Madani ini bererti semaraknya semangat umat untuk sentiasa berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhamad SAW dan menggunakan majlis-majlis sebegini supaya meningkatkan kefahaman dan ilmu kita," katanya.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Beliau berkata demikian pada Program Selawat dan Munajat Perdana Untuk Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini pada Sabtu.

Biarpun dalam keadaan hujan lebat, program tetap mendapat sambutan apabila disertai kira-kira 10,000 umat Islam.

Program bertemakan Mahabah Rasulullah Asas Kejayaan Malaysia Madani dianjurkan Pertubuhan Dai Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri.

Ia bertujuan memuliakan Baginda Nabi Muhamad SAW selain memohon keberkatan dan memanjatkan doa untuk mengelakkan Malaysia daripada bencana.

Program turut diisi dengan bacaan ayat Al-Quran, selawat dan qasidah, serta tausiyah oleh beberapa orang ulamak antaranya Habib Ali Zaenal Abidin.

Media Baharu