KOTA BHARU, 9 Oktober - Golongan belia di Kelantan berharap Belanjawan 2026 akan meneruskan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disifatkan sebagai bantuan kecil tetapi penuh makna dalam meringankan beban kehidupan seharian.
Mereka berpendapat, bantuan itu bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat di semua peringkat.
Ini termasuk golongan muda yang baru menapak dalam dunia pekerjaan atau masih menuntut di institusi pengajian.
Seorang pelajar kolej, Muhd Baihaki Aminuddin berkata berkata walaupun jumlah bantuan tidak besar, ia memberi kelegaan bahawa kerajaan memahami realiti hidup anak muda hari ini.
“RM100 mungkin nampak kecil, tapi nilainya sangat besar bagi pelajar. Saya berharap ia dapat diteruskan lagi untuk tahun-tahun seterusnya,” katanya.
“Terima kasih Perdana Menteri atas inisiatif cukup baik ini kepada rakyat seluruh Malaysia, khususnya kepada kami golongan belia. Ia wajar diteruskan pada masa akan datang,” kata Nik Ahmad Nuri Nik Ismail.
Sementara itu, Khairul Azhar Kamarulzaman pula menyifatkan bantuan itu bersifat adil dan menyeluruh tanpa mengira latar belakang penerima.
“Ia cukup berharga jika digunakan dengan bijak, termasuk oleh golongan belia. Kami gembira kerajaan mengumumkan bantuan yang saksama dan tiada hierarki,” katanya.
Bantuan SARA memberi manfaat kepada lebih 22 juta penduduk dengan jumlah peruntukan bernilai RM2 bilion.
Setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada tahun 2007 dan sebelum akan menerima bantuan SARA.
Sebanyak RM100 disalurkan ke dalam MyKad penerima bermula 31 Ogos lalu sempena Hari Kebangsaan, dan boleh dimanfaatkan sehingga 31 Disember 2025.
Bantuan itu sekali gus mencatat sejarah sebagai kali pertama bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa tanpa pengecualian.