KOTA KINABALU, 9 Oktober - Pesakit amputasi anggota bawah bakal mendapat manfaat daripada pembangunan alat bantuan mobiliti inovatif dan mampu milik hasil kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan syarikat tempatan.
UMS dalam kenyataan memaklumkan, kerjasama tersebut dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani di kampus universiti itu baru-baru ini.
Projek pembangunan alat berasaskan sistem pneumatik berkos rendah itu dilaksanakan di bawah Dana Inovasi Sosial Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bernilai RM128,000, diterajui Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS.
"Alat berkenaan direka untuk membantu pesakit amputasi menjalani fasa pemulihan sebelum menerima prostesis kekal," menurut kenyataan itu hari ini.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dan Pengurus syarikat, Muhammad Iman Jabilin, disaksikan oleh kepimpinan kanan universiti termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan Dekan FPSK, Datuk Dr. Mohd Yusof Ibrahim.
Dalam kenyataan itu juga, Dr. Kasim menzahirkan penghargaan kepada pasukan penyelidik dan industri atas kolaborasi yang membawa manfaat kepada masyarakat.
“Kerjasama ini membolehkan kepakaran penyelidik diterjemahkan kepada produk inovatif yang memberi manfaat sebenar kepada pesakit,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Iman berkata, kerjasama tersebut menggabungkan pengalaman industri dan kepakaran akademik bagi menghasilkan teknologi yang membantu pesakit mendapatkan semula keupayaan bergerak.
UMS menegaskan, projek berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan universiti dalam memperkukuh penyelidikan berimpak sosial serta memperluas akses kepada teknologi kesihatan inklusif di Malaysia.