fb fb fb fb fb

JS-SEZ bukti kerjasama pragmatik Malaysia-Singapura

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz/FOTO FB TENGKU ZAFRUL

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Malaysia dan Singapura perlu terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memacu pertumbuhan bersama, khususnya dalam memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerjasama pragmatik antara kedua-dua negara dapat dilihat melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang berpotensi menarik pelabur global ke rantau ini.

“Contoh terbaik kerjasama pragmatik ialah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bukan sahaja mampu menarik pelabur global, malah memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui rantaian bekalan yang lebih efisien,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul menegaskan bahawa prinsip utama hubungan Malaysia dengan ASEAN berasaskan konsensus dan sentraliti, yang menjadi tunjang kepada kestabilan serta kerjasama serantau.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan terus memacu integrasi ekonomi serantau dengan komitmen memuktamadkan penambahbaikan ATIGA (Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN) serta mempercepatkan pelaksanaan DEFA (Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital), yang dijangka mampu menggandakan nilai ekonomi digital ASEAN,” katanya.

Beliau menambah, kesatuan ASEAN merupakan kunci utama bagi memastikan rantau ini kekal relevan dan berdaya saing dalam menghadapi persaingan antara kuasa besar dunia.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD