fb fb fb fb fb

Penyelidik UPM cipta inovasi lindungi kelestarian air bersih

Foto UPM

SERDANG, 9 Oktober – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Norhayati Ramli berjaya membangunkan kaedah baharu bagi mengesan pencemar berbahaya dalam air bagi memperkukuh usaha negara memastikan kelestarian sumber air bersih untuk rakyat.

Menurut Profesor Madya Dr. Norhayati, inovasi itu menggunakan teknologi Kromatografi Cecair Prestasi Tinggi (HPLC) yang dioptimumkan bagi memantau pencemaran monoklorofenol isomer, iaitu sejenis bahan toksik daripada sisa industri kimia, petrokimia, tekstil, pulpa dan kertas, sawit serta racun perosak.

“Teknologi analisis sedia ada seperti GC-MS dan LC-MS menghadapi kekangan kos penyelenggaraan tinggi, persampelan rumit, serta pengendalian instrumen yang kompleks. Justeru, kaedah HPLC ini menjadi alternatif kerana kos yang lebih efektif dan mesra pengguna.

"Analisis dapat dijalankan dengan lebih cepat, kos lebih rendah, dan peralatan lebih mudah dikendalikan tanpa perlu derivatisasi kimia. Malah ia sesuai digunakan di kebanyakan makmal rutin,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB) UPM turut menekankan tentang bahaya monoklorofenol, iaitu pencemar organik sukar terurai yang berpotensi mencemari sungai serta air tanah sekali gus menjejaskan ekosistem alam sekitar dan kesihatan.

“Jika tidak dikawal, ia memberi kesan toksik kepada hidupan akuatik dan berbahaya kepada manusia, termasuk menyebabkan kerengsaan kulit, gangguan saraf dan berpotensi karsinogenik. Justeru, pengesanan awal amat penting,” tegasnya.

Tambah beliau, inovasi tersebut bukan pengganti penapis air rumah masa kini tetapi alat saintifik yang memastikan kualiti air mentah dipantau lebih tepat sebelum sampai kepada pengguna.

“Saya berharap teknologi ini dapat diperluas untuk mengesan pencemar organik lain, sekali gus memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan mampan dan perlindungan kesihatan masyarakat negara ini,” katanya.

Penghasilan inovasi tersebut turut dibantu oleh pelajar Doktor Falsafah, Wong Chun Choy.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN