fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 peruntuk RM55 juta perkasa perpaduan rakyat

Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - RM55 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 khusus untuk memperbanyak program perpaduan dan identiti nasional demi memperkukuh perpaduan nasional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Rakyat berkata, antara yang bakal dilaksana termasuk Minggu Perpaduan, Harmoni MADANI dan Citra Nusa Muzium.

Selain itu katanya, dua modul baharu iaitu Falsafah dan Cabaran Semasa serta Aspirasi Negara Bangsa diwajibkan mulai 2026 di intitusi pengajian tinggi dalam usaha mengukuhkan tradisi, kesenian, tatasusila serta perpaduan nasional ke arah peradaban negara bangsa.

Perdana Menteri berkata sebagai mengiktiraf sukan sebagai wahana membina jati diri bangsa, geran padanan RM30 juta disediakan bagi menyokong persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan aktiviti sukan rakyat.

"Turut diperuntuk, RM55 juta untuk memanfaat peranan Rukun Tetangga MADANI sebagai jambatan yang menggerakkan aktiviti kekeluargaan dalam kejiranan berbilang bangsa.

"Kerajaan juga akan memperkukuh Program Jiwa Murni MADANI dengan menambah peruntukan kepada RM20 juta," katanya.

Datuk Seri Anwar turut memaklumkan bahawa tiga pusat aktiviti perpaduan baharu akan dibina dengan kos RM46 juta iaitu Kompleks Perpaduan Bukit Besar, Kuala Terengganu, Pusat Aktiviti Perpaduan Bandar Seri Iskandar, Perak dan Pusat Aktiviti Perpaduan Miri, Sarawak.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN