KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Kadar cukai rokok dan cukai minuman beralkohol dinaikkan mulai 1 November tahun ini sebagai langkah kerajaan mengurangkan tabiat merokok, mengawal pengambilan alkohol serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan kadar duti eksais itu melibatkan kenaikan 2 sen bagi setiap batang rokok.
Manakala cigars, cheroots dan cigarillos naik RM40 sekilogram, serta produk tembakau dipanaskan (heated tobacco) meningkat RM20 sekilogram kandungan tembakau.
“Pada masa yang sama, kerajaan turut bersetuju menaikkan kadar duti eksais bagi produk minuman keras sebanyak 10 peratus, turut berkuat kuasa pada 1 November tahun ini,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, hasil tambahan daripada kenaikan cukai rokok dan minuman keras akan diagihkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membiayai program Inisiatif Kesihatan Paru-Paru KKM serta rawatan penyakit diabetes dan jantung.
Selain itu, kerajaan turut melanjutkan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas produk terapi gantian nikotin serta memperluasnya kepada produk nicotine mist dan nicotine lozenges sehingga 31 Disember 2027.
“Mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, kerajaan mencadangkan supaya perbelanjaan pemvaksinan yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan individu diperluas meliputi semua jenis vaksin yang didaftar dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, bagi menjamin keterjaminan ubat negara, kerajaan akan merintis projek usaha sama awam-swasta bagi pengeluaran ubat-ubatan penting yang akan memperkukuh daya saing industri farmaseutikal tempatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).