fb fb fb fb fb

Malaysia rangka persediaan menuju negara tua 2043

Foto hiasan/ RTM

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 akan digubal sebagai panduan strategik menyeluruh yang bakal diluncur semasa New Frontiers on Care Conference peringkat ASEAN November ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia menuju negara tua menjelang 2043 dan persediaan mesti dimulakan sekarang bagi menjamin kesejahteraan hidup warga emas sambil memperkukuh ekonomi penjagaan dan solidariti sosial.

"Peruntukan kebajikan warga emas ditingkatkan kepada 1.26 bilion ringgit melibatkan 180,000 warga emas, antaranya untuk wang saku, bantuan sosioekonomi dan pusat aktiviti," kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Datuk Seri Anwar, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menumpukan pembinaan ekosistem perkhidmatan penjagaan yang mampan, berkualiti, mudah diakses dan mampu
bayar.

Oleh itu, kerajaan akan membangunkan piawaian nasional bagi sektor penjagaan, yang menjadi asas kepada pengiktirafan sektor ini sebagai satu bidang profesional.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menawarkan kursus TVET bagi pekerja jagaan (care workers) dengan peruntukan berjumlah RM5 juta.

"Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan komitmen RM300 juta telah merintis projek rumah warga emas mandiri di atas tanah Baitulmal di Kepala Batas, Pulau Pinang dengan kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang. KWAP juga sedang menilai potensi projek serupa di lokasi lain bagi memanfaat lebih ramai warga emas berpendapatan rendah," jelasnya.

Datuk Seri Anwar berkata kerajaan bersetuju potongan cukai dua kali bagi syarikat yang menaja latihan bagi OKU diperluas kepada penajaan program latihan pekerja jagaan (care worker) yang diiktiraf KPWKM.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN