fb fb fb fb fb

Belanjawan 2026 perkukuh agenda keterjaminan makanan – KSU KPKM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Peruntukan sebanyak RM6.8 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam Belanjawan 2026 akan memastikan agenda keterjaminan makanan negara dapat diteruskan dan diperkukuhkan.

Menurut Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak, peruntukan tersebut bukan sahaja meliputi projek pembangunan, tetapi juga pelbagai insentif serta inisiatif yang memberi impak langsung kepada sektor pertanian negara.

“Peruntukan ini amat penting bagi memastikan agenda keterjaminan makanan negara dapat diperkukuhkan. Pendekatan rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan juga membolehkan penjimatan digunakan semula untuk menaik taraf infrastruktur pertanian,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Wisma Berita, Angkasapuri.

Beliau berkata, antara projek yang akan diteruskan ialah inisiatif tanaman lima kali dalam tempoh dua tahun sehingga suku kedua 2030 serta projek infrastruktur pengairan di Jeniang, Sik, Kedah.

Jelasnya lagi, penyelesaian kepada isu infrastruktur seperti pengairan dan saliran akan membuka ruang kepada peningkatan produktiviti hasil pertanian negara.

Datuk Seri Isham turut menegaskan komitmen kerajaan dalam meremajakan sektor pertanian dengan meneruskan pemberian geran start-up dan skill-up di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Dalam masa sama, beliau berkata sektor ternakan turut menerima perhatian menerusi insentif bagi penternak ruminan seperti lembu, kambing dan ayam, bagi meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) negara dalam bekalan protein segar.

Selain itu, kerajaan juga menumpukan kepada usaha memperkukuh pengeluaran buah-buahan tempatan, bagi mengurangkan kebergantungan kepada import dan pada masa sama memberi pulangan ekonomi kepada petani tempatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN