fb fb fb fb fb

Peruntukan RM650 juta kepada PTPK lonjak akses latihan kemahiran belia

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Peruntukan sebanyak RM650 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam Belanjawan 2026 bakal memperluas akses latihan kemahiran kepada lebih ramai belia di seluruh negara.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan, berkata peruntukan itu menjadi nadi utama kepada pelaksanaan transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“RM650 juta untuk PTPK bukan sekadar peruntukan, tetapi satu amanah besar untuk membina masa depan generasi pekerja mahir Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, peningkatan dana berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan dalam merancakkan sektor strategik seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh baharu, automasi industri dan kecerdasan buatan (AI).

"Dana RM650 juta itu perlu digunakan sepenuhnya bagi tujuan pinjaman latihan kemahiran kepada belia B40, M40 dan lepasan sekolah, tanpa dicampur dengan program berbentuk geran.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan tiada golongan muda tercicir daripada peluang latihan kemahiran serta mewujudkan ekosistem TVET yang lebih inklusif dan adil,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2026 mengumumkan TVET akan menerima peruntukan RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion pada tahun ini.

PTPK akan menerima pembiayaan RM 650 juta yang memberi manfaat kepada lebih 25,000 pelatih dalam bidang Pembangunan Industri bagi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) seperti AI, EV dan semikonduktor.

GRACE AISYAH KEDAYAN