KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan setiap rakyat berhak memiliki rumah, sama ada melalui pemilikan mahupun sewaan, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu.
Menurut beliau, fokus utama kementerian memastikan rakyat, khususnya golongan muda, berpeluang memiliki rumah sendiri dan tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
Beliau berkata, bagi memperluas akses pembiayaan rumah, kerajaan menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan khusus untuk golongan B40 dan M40.
“Akses kepada pembiayaan rumah ini kita berikan peluang untuk mendapatkan Skim Jaminan Kredit Perumahan khususnya bagi golongan B40 dan M40.
"Kerajaan telah menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, sama ada rumah baharu, rumah sedia ada ataupun secara lelongan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan KPKT akan menerima peruntukan sebanyak RM6.09 bilion dalam Belanjawan 2026 pada Jumaat lalu.
Peruntukan itu meningkat sebanyak RM154 juta berbanding RM5.93 bilion tahun ini untuk memperkasakan kerajaan tempatan, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memastikan kelestarian bandar.
Kerajaan juga menawarkan pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000.
Pengecualian duti dilanjutkan selama dua tahun iaitu sehingga 31 Disember 2027.