GOMBAK, 16 Ogos - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi penekanan khusus terhadap isu obesiti dan diabetes dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada Oktober.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM telah mengemukakan beberapa isu baharu berkaitan dan kini menantikan pembentangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan kedua-duanya menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit di negara ini.
“Obesiti dan diabetes merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit dalam negara. Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati 3.55 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas (15.6%) menghidap diabetes, manakala 4.58 juta (21.8%) mengalami obesiti,” katanya.
Menurut beliau lagi, penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes, penyakit jantung, strok dan kanser kini menyumbang kepada lebih 70 peratus kematian pramatang di Malaysia dengan kos keseluruhan untuk rawatan, penjagaan, kehilangan produktiviti dan kematian awal akibat NCD dianggarkan melebihi RM64 bilion setahun.
Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran Roczen Universal, sebuah platform kesihatan digital yang dibangunkan oleh syarikat United Kingdom, Reset Health, dan diiktiraf oleh Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) sebagai sebahagian daripada rawatan bersepadu untuk pesakit diabetes.
Untuk rekod, KKM telah memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bersama Reset Health pada September 2024 dan memilih daerah Gombak sebagai lokasi perintis pelaksanaan program ini.
Program tersebut melibatkan sembilan komuniti di bawah inisiatif Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN), termasuk komuniti Kawasan Rukun Tetangga, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Bermula bulan ini, KKM menyasarkan penyertaan seramai 1,000 hingga 2,000 peserta yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes untuk menyertai kumpulan perintis program Roczen Universal,” tambahnya.
Terdahulu, Dr. Dzulkefly turut menyaksikan pertukaran MoC antara Reset Academy of Metabolic Sciences yang diwakili Pengerusi Eksekutif Reset Health, Dr David Wong, dan Prof Dr Rosmawati Mohammed mewakili Akademi Perubatan Malaysia.
Kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah melatih lebih ramai profesional kesihatan dalam pengurusan berat badan dan obesiti di Malaysia.
Roczen Universal merupakan platform kesihatan digital komprehensif yang direka untuk membantu individu menurunkan berat badan dan mengawal paras gula dalam darah secara percuma.