fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Pulau Pinang sambut baik penubuhan UTC baharu

Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 19 Oktober- Kerajaan Pulau Pinang menyambut baik Belanjawan 2025 yang mengumumkan penambahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Seberang Perai.

Inisiatif itu dijangka memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat dengan menyediakan akses mudah kepada pelbagai perkhidmatan di satu lokasi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penubuhan UTC baharu tersebut bukan sahaja memudahkan orang ramai menyelesaikan urusan mereka, tetapi juga membawa perkhidmatan lebih dekat dengan komuniti.

Pada masa ini, Pulau Pinang hanya mempunyai satu UTC yang terletak di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

"Saya mengalu-alukan keputusan ini. Penambahan UTC di Seberang Perai akan mengurangkan kesesakan di UTC KOMTAR dan memenuhi keperluan komuniti. Saya percaya Kementerian Kewangan telah mempertimbangkan permohonan ini dengan teliti, dan ia membuktikan terdapat keperluan untuk satu lagi UTC," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Hari Terbuka Tahunan Salvation Army Penang di Jalan Logan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan UTC di Seberang Perai semasa pembentangan Belanjawan 2025.

SITI AISHAH MD ISA