fb fb fb fb fb

Angka penduduk terjejas di Pahang dan Kedah berkurangan

Anggota tentera dalam operasi pembersihan pasca banjir di Masjid Sungai Buloh di Temerloh yang dilanda banjir baru-baru ini. Beliau antara lebih 40 anggota daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi berkenaan/ FB APM Temerloh

KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Situasi banjir di Temerloh dekat Pahang terus menunjukkan perkembangan positif dengan seramai 1,047 penduduk daripada 312 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 11.00 pagi tadi, berbanding 1,418 penduduk daripada 411 keluarga malam tadi.

Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan menempatkan 595 orang, diikuti PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti (334), SMK Mentakab (32), SK Bukit Cermin (55) dan SMK Bukit Cermin (31).

Sementara itu, 11 penduduk yang berada di PPS SK Mentakab (Chatin) telah dibenarkan pulang hari ini.

Di Kedah, jumlah penduduk terjejas akibat banjir juga menunjukkan penurunan. Sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi, 114 penduduk masih ditempatkan di PPS di daerah Baling berbanding 260 orang pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain memaklumkan penduduk yang masih berada di PPS Dewan Tun Abdul Razak Lama di Baling adalah seramai 114 orang, manakala PPS di SK Siong telah ditutup pada pukul 11.00 pagi.

Di daerah Kota Setar, PPS terakhir di SMK Simpang Kuala ditutup pada pukul 12.00 tengah hari selepas 108 penduduk yang menjadi kumpulan terakhir telah dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, sebuah PPS baru dibuka di daerah Bandar Baharu di SK Sungai Kechil Ulu pada pukul 10.00 pagi dan jumlah penduduk di PPS tersebut masih dalam proses pengesahan.

SITI AISHAH MD ISA