PUTRAJAYA, 19 Oktober- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, menerusi kenyataan berkata KPKM yakin bahawa Belanjawan 2025 tersebut mampu memastikan cabaran sektor agromakanan dapat ditangani.
Beliau berkata melalui peruntukan itu, KPKM akan terus memacu sektor agromakanan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memfokuskan kepada pemodenan dan perkembangan sektor agromakanan bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara.
Secara keseluruhannya pada tahun 2025, KPKM telah diperuntukan sebanyak RM6.42 bilion iaitu kenaikan sebanyak 4.1 peratus berbanding RM6.17 bilion tahun 2024.
Peningkatan ini mencerminkan komitmen kerajaan bagi memastikan kecukupan dan keterjaminan bekalan makanan negara serta meningkatkan produktiviti sektor agromakanan demi kesejahteraan rakyat melalui beberapa inisiatif. Antaranya :
"Peruntukan RM300 juta bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri berbanding RM150 juta pada tahun 2024, antaranya untuk menyokong aktiviti pengeluaran bawang di Perak, ternakan tilapia merah di Pahang dan peningkatan hasil padi di Negeri Sembilan.
"Kerjasama kerajaan bersama badan swasta untuk memanfaat hampir 8, 800 ekar tanah terbiar milik lembaga kemajuan wilayah dan agensi rangkaian untuk melaksanakan projek pertanian.
"Kemudahan pinjaman disediakan oleh Agrobank sebanyak RM200 juta kepada pengusaha agromakanan yang menyokong keterjaminan makanan dan pertanian lestari.
"Insentif sebanyak RM27 juta kepada penternak dan petani untuk meningkatkan ternakan lembu pedaging, kambing pedaging, kambing tenusu dan bebiri serta pengeluaran bawang tempatan.
"Peruntukan RM65 juta bagi membangunkan pengairan dan saliran jelapang padi serta meluaskan estet padi FELCRA di Sabah dan Sarawak.
Katanya, KPKM akan melaksanakan inisiatif Belanjawan 2025 Malaysia MADANI secara cekap mengikut tatakelola yang baik bagi memastikan semua golongan sasar di bawah KPKM akan mendapat manfaat daripada pengumuman tersebut.
"Saya juga yakin belanjawan 2025 akan terus memperkukuhkan keterjaminan makanan negara selaras dengan matlamat DAN 2.0", katanya.