fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024, Selangor peruntuk RM2.53 bilion belanja mengurus dan pembangunan

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 10 November- Selangor memperuntukkan RM2.53 bilion dalam Belanjawan 2024 bagi perbelanjaan mengurus dan melaksanakan pembangunan negeri.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.33 bilion atau 52.6% diagih untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion bagi pembangunan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun depan mencecah RM2.2 bilion, berdasarkan rekod pencapaian pada Ogos 2022 dan September 2023.

"Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2024 adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM890.94 juta bersamaan 40.5% daripada anggaran hasil keseluruhan.

Penyumbang kedua terbesar adalah hasil Cukai Tanah iaitu sebanyak RM622.65 juta bersamaan 28.3% manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM212.96 juta bersamaan 9.7% daripada pendapatan tahun 2024. Ia turut mengambil kira jangkaan hasil negeri yang berjumlah RM2.2 bilion," kata Amirudin ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Menurutnya, belanjawan kali ini turut mengalami defisit berjumlah RM330 juta namun lebih rendah berbanding tahun lalu dengan pengurangan sebanyak RM120 juta.

Walaupun perbelanjaan defisit sejak enam belanjawan lalu, kerajaan negeri akan mengambil langkah untuk mengurangkan angka tersebut kepada satu jumlah yang munasabah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM