fb fb fb fb fb

B. Melayu, instrumen perkukuh perpaduan, keharmonian kaum

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 11 November- Bahasa Melayu merupakan antara instrumen utama dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Sifat “kasih sayang” terhadap Bahasa Melayu perlu disemai dan dipupuk dengan lebih meluas dan agresif dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda yang mewarisi kepimpinan negara pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Bahasa Melayu juga perlu dimartabat serta dipertahankan sebagai 'bahasa bersama', kerana ia mengandungi nilai warisan dan adat istiadat yang membentuk jati diri dan personaliti dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau menegaskannya dalam ucapan perasmian 'Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan: Bahasa Jiwa Bangsa', di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di ibu negara.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

"Hal ini amat penting disebabkan jika elemen Bahasa Kebangsaan menjadi “tiang seri” bagi negara kita musnah, maka usaha kita untuk bersama-sama membina Malaysia sebagai negara bangsa yang progresif akan menjadi impian semata-mata.

"Saya amat yakin, seluruh rakyat Malaysia akan menjadi lebih teguh dan bersatu padu disebabkan penguasaan Bahasa Melayu yang baik.

Hal ini disebabkan seluruh rakyat Malaysia dapat berkomunikasi tanpa halangan dan kekangan, seterusnya menjadikan hidup lebih harmoni dan mesra tanpa mengira perbezaan antara kita rakyat Malaysia", katanya.

ROSLINA BINTI DIN