fb fb fb fb fb

Malaysia dipilih semula sebagai ahli APCERT 2023-2025

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 10 November- Malaysia melalui CyberSecurity Malaysia dipilih semula sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu dan Timbalan Pengerusi Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT), bagi penggal 2023-2025.

Pemilihan dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan APCERT yang diadakan secara dalam talian pada Rabu, 8 November.

CyberSecurity Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan agensi itu turut menerima Anugerah APCERT 2023 pada mesyuarat agung tersebut, apabila diiktiraf sebagai ahli paling aktif dalam memberi sumbangan kepada platform kerjasama tersebut.

"Pemilihan dibuat berdasarkan pengalaman Malaysia yang sebelum ini merupakan Pengerusi APCERT selama empat sesi berturut-turut selepas pemilihan pertama pada 2007," kata kenyataan itu.

Dengan pemilihan berkenaan, CyberSecurity Malaysia akan terus menganggotai Jawatankuasa Pemandu APCERT yang turut dianggotai oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer dari Australia, China, Korea, China, Taipei, Jepun dan Sri Lanka.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam kenyataan sama berkata pemilihan Malaysia sebagai Timbalan Pengerusi APCERT mencerminkan kepercayaan anggota APCERT terhadap kecekapan dan kebolehupayaan CyberSecurity Malaysia, dalam menerajui bidang keselamatan siber di peringkat antarabangsa.

Anugerah APCERT 2023 pula merupakan pengiktirafan terhadap usaha, kesungguhan dan komitmen negara, dalam menangani ancaman siber di rantau Asia Pasifik.

CyberSecurity Malaysia merupakan antara pengasas bersama APCERT pada 2002.

Agensi itu kekal sebagai ahli jawatankuasa pemandu sejak penubuhannya dan akan berterusan sehingga 2025.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM