KUALA LUMPUR, 10 November- Rapid Bus akan melaksanakan dua projek percubaan lorong bas tambahan di Jalan Genting Kelang dan Jalan Ampang dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Inisiatif itu sebagai usaha menambah baik perjalanan bas di sekitar ibu negara agar lebih lancar, cepat dan mudah kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata projek percubaan itu dijangka menjadi pemangkin bagi peralihan mod perjalanan, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas sekitar Kuala Lumpur.
Projek percubaan di Jalan Genting Kelang akan bermula 15 November ini hingga 14 Februari 2024 membabitkan laluan dari Jalan Tumbuhan sehingga Bulatan Pahang dengan pertambahan 47 buah bas pada waktu puncak pagi.
Selain itu, percubaan lorong bas Jalan Ampang akan memulakan operasi percubaan untuk waktu puncak petang 15 November ini.
Selepas dilaksanakan Julai lalu bagi waktu puncak pagi, 15% peningkatan penumpang dicatatkan membabitkan perjalanan dari Jalan Rhu ke persimpangan Jalan Tun Razak.