KUALA LUMPUR, 13 Oktober -Bagi memperhebat usaha menjamin kelangsungan industri agromakanan negara yang lebih mandiri, pada 2024 kerajaan menyediakan RM2.6 bilion bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada para pesawah dan nelayan.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kedua di Dewan Rakyat, peruntukan itu meningkat RM600 juta ketimbang (berbanding) tahun ini selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 ringgit per metrik tan.
Anwar turut mengumumkan keputusan kerajaan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan demi membantu pendapatan pesawah. Katanya Kerajaan telah menetapkan harga lantai pada RM1,200 sejak tahun 2014 lagi.
“Saya mendengar rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang telah diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 per metrik tan sedangkan sebelum ini harga belian oleh pengilang jauh lebih tinggi,” jelas Perdana Menteri.
Tambahnya, kerajaan juga telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh 2 tahun di beberapa kawasan jelapang antaranya di Bota Kiri, Perak; Kangar, Perlis dan Kota Sarang 64 Semut, Kedah.
Langkah itu selari dengan usaha untuk menaik taraf infrastruktur pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis dan Kedah bagi meningkatkan pengeluaran padi dengan pelaburan bernilai RM3 bilion.
Selain itu menurut perdana menteri, kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta; antara lain akan dapat meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43,000 hektar.
Dalam perkembangan sama, para nelayan akan diberikan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan selain menyediakan RM10 juta untuk tujuan membina baharu dan baik pulih rumah nelayan yang uzur.
Perdana menteri juga mengumumkan bahawa kerajaan akan terus mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1. 65 sen seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun.
(Foto hiasan)