KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac tahun hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam.
"Pertama, diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman. Kedua, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan ketiga, diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual," katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Anwar turut berikrar untuk memastikan mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di Universiti, tidak dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar, hanya kerana tidak mampu melunaskan yuran kemasukan pengajian ataupun mengambil peperiksaan.
"Bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500 ringgit. Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.
Tambah Anwar, pada masa yang sama, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
Katanya, sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.
Anwar juga mahu Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang punyai masalah pembayaran yuran.