(Ahmad Maslan ditemu bual semasa menjadi tetamu di Konti NASIONALfm)
KUALA LUMPUR, 7 Ogos- Sesi libat urus Belanjawan 2024 yang berlangsung sejak beberapa minggu lalu memfokuskan kepada penekanan terhadap usaha memperkasakan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Belanjawan 2024 akan lebih bersifat inklusif dengan penglibatan sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau memberitahu, peserta sesi tersebut juga telah diterangkan mengenai konsep Ekonomi MADANI yang akan dirangkumkan dalam belanjawan kali ini.
"Ya, kita dalam libat urus belanjawan ini, kita ingin memastikan kumpulan yang kita panggil untuk memberikan segala pandangan itu hendaklah dalam pengetahuan mereka. Kita ingin melaksanakan apa yang dipanggil Ekonomi MADANI, memperkasakan rakyat.
"Ada dua penekanan iaitu menjadikan Malaysia peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan taraf hidup rakyat," kata Ahmad Maslan ditemui RTM selepas menjadi tetamu di Konti NASIONALfm.
Tambahnya, kerangka Ekonomi MADANI dilaksanakan dengan mengambil kira jumlah perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.
(Datuk Seri Ahmad berkata Belanjawan 2024 diselaraskan dengan aspirasi Ekonomi MADANI)