(Foto Anwar Ibrahim)
PUTRAJAYA, 7 Ogos- Kerajaan berharap Dasar Gaji Progresif (progressive wage policy) akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak mungkin syarikat dan pekerja.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sesi libat urus dan tinjauan awal berkaitan dasar gaji itu menunjukkan 62 peratus pekerja dan 80 peratus syarikat menyambut baik cadangan tersebut.
"Dasar gaji progresif itu adalah bersifat sukarela (voluntary), berteraskan insentif (incentive-based), dan terkait dengan produktiviti (productivity-linked)," katanya menerusi kenyataan media.
Tambahnya, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja-pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji lebih seimbang.
Perdana menteri turut menegaskan bahawa isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan. Ini memandangkan berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lepas, lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
"Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20 hingga 24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan. Bagi kebanyakan pekerja Malaysia, gaji hanya akan meningkat kepada RM3,500 pada paras tertinggi sekitar umur 40 hingga 49 tahun sepanjang kerjaya mereka," katanya.
Berikutan peratusan pendapatan pekerja Malaysia (wage share ratio) telah menurun daripada 37.2 peratus pada 2020 kepada 32.4 peratus pada 2022, kerajaan menetapkan sasaran nisbah itu agar meningkat kepada 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
Mengulas lanjut, model dasar itu diusulkan setelah MTEN mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja.
"Dasar ini, yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum, akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan, dan peringkat," tambah Anwar.
Kerajaan juga akan mengadakan sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja selain akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisma pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif dasar tersebut yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan dasar.
"MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara," katanya.
(Foto Mesyuarat MTEN)