KUALA LUMPUR, 16 Julai - Perkara berhubung pelantikan hakim, keselamatan negara dan cadangan pengharaman vape, antara perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269, yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, mesyuarat tersebut dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Pada hari ini, Majlis disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar," kata kenyataan itu.
Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai pelantikan hakim termasuk Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, selain pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Presiden Mahkamah Rayuan serta Ketua Hakim Negara.
"Majlis juga mengambil maklum cadangan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik di Malaysia.
"Turut dibentangkan ialah Pandangan Hukum Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-126 dan 127, serta Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Tahun 2025," tambah kenyataan itu.
Majlis turut diberi maklum mengenai keperluan pendaftaran perkahwinan membabitkan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, serta kertas keputusan Jemaah Menteri berhubung cadangan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak secara berpusat.
Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut berangkat, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.
Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri serta wakil premier Sarawak.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke pramesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 di Istana Negara.
Kali terakhir mesyuarat berkenaan diadakan pada 5 Februari, dipengerusikan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.