fb fb fb fb fb

Dua nelayan warga Myanmar ditahan Maritim Malaysia

(Foto Maritim Malaysia)

KUALA KURAU, 7 Ogos- Dua nelayan warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 2.4 batu nautika barat daya Pulau Pasir Hitam, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata dua nelayan warga Myanmar termasuk tekong masing-masing berumur 31 dan 38 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka ditahan semasa rondaan dijalankan di perairan Kerian dan Larut Matang.

"Bot tersebut memiliki lesen, namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya selain jentera utama bot telah diubah suai.

"Kedua-dua nelayan tidak memiliki kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Kesemua tahanan dan peralatan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985," katanya menerusi kenyataan.


(Foto Maritim Malaysia)

Media Baharu