KUALA LUMPUR, 3 Februari- Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bersidang buat kali pertama pada tahun ini menekankan bahawa kerajaan akan mengutamakan pemacuan pertumbuhan ekonomi yang berhemat selain pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat Malaysia dalam merangka Belanjawan 2023.
Langkah itu akan dilaksanakan walaupun kerajaan mewarisi beban hutang yang tinggi dan ekonomi berdepan ketidaktentuan prospek ekonomi global.
Pada 2022, hutang dan liabiliti Kerajaan hampir menjangkau RM1.5 trilion atau lebih 80% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nisbah khidmat hutang dijangka akan melebihi 15% daripada hasil.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa prospek ekonomi dunia bakal merosot dengan kebanyakan negara dijangka mengalami kemelesetan ekonomi berikutan pertumbuhan ekonomi yang menyederhana pada 2023.
Selaras dengan konsep pembangunan Malaysia MADANI, kemajuan ekonomi akan memanfaatkan segenap lapisan masyarakat.
Dasar fiskal mengembang akan dikekalkan kerajaan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi selain komited melaksanakan langkah pengurangan defisit secara berperingkat.
Jawatankuasa Dasar Fiskal bertujuan meneliti fiskal Kerajaan dan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana.
Jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Haji Fadillah Haji Yusof; Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron; Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan turut dihadiri pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan.
Belanjawan 2023, dijadual dibentangkan di Parlimen pada 24 Februari 2023.
(Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC)/Foto PMO)