(Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat)
KUALA LUMPUR, 24 Februari– Belanjawan 2023 yang dibentangkan hari ini dirangka berdasarkan prestasi dan tantangan ekonomi, juga setelah mendengar keluhan rakyat dan ahli-ahli parlimen, merumuskan lima cabaran utama termasuk kerajaan terpaksa mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hutang negara bakal menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2023.
Jelasnya, jika dihitung hutang dan liabiliti, mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus daripada KDNK. Bayaran khidmat hutang pada tahun ini juga mencecah RM46 bilion atau 16 peratus daripada hasil iaitu telah melebihi had maksimum 15 peratus yang diamalkan selama ini.
“Bayaran RM46 bilion ini hanyalah untuk kadar faedah atau bunga pinjaman dan bukannya hutang pokok. Dewan ini harus diingatkan, 25 tahun kerajaan berbelanjawan defisit, hutang negara terus bertambah.
“Kita pernah berhutang untuk membangun tanah FELDA; itu tidaklah digusarkan tetapi berhutang membiayai projek mega tanpa faedah mengundang persoalan apakah kita mengkhianati amanah sekiranya generasi anak muda dibebani dengan hutang, jelas Anwar ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) atau Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Terdahulu, perdana menteri mempersoal apakah ada tekad politik untuk membuat anjakan dan perubahan yang perlu bagi memacu pertumbuhan dan menghapuskan amalan tamak haloba elit penguasa.
Mengetengahkan tema, Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani, Anwar merumuskan Belanjawan Madani sebagai cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan.
(Perdana Menteri bersiap sedia ke Parlimen untuk membentangkan
Belanjawan 2023 Malaysia MADANI/Foto FB Anwar)
Perdana Menteri turut menyatakan bahawa Malaysia mengalami kemerosotan dalam pentadbiran, cabaran yang perlu ditangani bersama.
Katanya amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik sehingga membobrok tadbir urus Kerajaan, malah mencalar imej negara.
“Kesannya, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 telah jatuh merudum ke tangga 61 jika dibandingkan tangga 29 yang kita capai 1998.Transparency International Malaysia menyebut asbab kemerosotan ini kerana kegagalan membendung rasuah politik,”
Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan wujud ketirisan hampir RM3 bilion meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur. Umpamanya, isu terkurang kutip duti import kenderaan, Kerajaan telah hilang RM72 juta hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah.
Turut didedahkan tahun lalu, wujud ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan.
“Inilah bukti pelbagai ketelanjuran yang memberi dampak buruk kepada negara. Ini mesti dihentikan jika kita mahu negara ini beranjak ke hadapan dengan gagah dan gemilang. Kita yang menentukan apakah masa depan negara akan rencat, melonjak atau terpenjara, dan ia tergantung kepada ruang kebijakan yang ingin diterjemahkan,” tegas Anwar.
Dalam pada itu perdana menteri mengingatkan bahawa negara perlu menempuh ketidaktentuan ekonomi dunia berikutan kadar inflasi terus menekan disebabkan harga komoditi dunia yang masih tinggi dan gangguan rantaian bekalan makanan pada saat ini kesan perang Rusia-Ukraine.
“Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia 2023 yang menyederhana pada 2.9 peratus ketimbang 3.4 peratus pada tahun lalu. Sektor perdagangan di peringkat dunia juga diunjur lembab pada kadar 2.4 peratus berbanding 5.4 peratus tahun 2022,” katanya.
Perdana menteri juga menyatakan KDNK 2022 Malaysia mencatat pertumbuhan 8.7 peratus disebabkan asas KDNK 2021 yang rendah susulan dampak hentakan wabak COVID-19.
“Tetapi, bagi memberi gambaran penuh prestasi ekonomi, ia perlu dilihat bersama dengan pertumbuhan sukuan yang mencatat penurunan iaitu suku pertama (3.8 peratus), suku kedua (3.5 peratus), suku ketiga (1.9 peratus) dan suku keempat (negatif 2.6 peratus), jelasnya.
Perdana Menteri menambah bahawa Malaysia meraih pelaburan RM297.5 bilion pada tahun lalu iaitu 9.4 peratus lebih rendah ketimbang RM328.5 bilion pada 2019, menunjukkan bahawa pelaburan belum mencapai prestasi sebelum pandemik.
Ia juga menghuraikan fakta dan cabaran sebenar yang membelit ekonomi dan tantangan kepada Kerajaan Perpaduan dan negara.
Katanya, “kedudukan Malaysia dalam Senarai Daya Saing Dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) juga telah jatuh ke tangga 32, sedangkan Malaysia pernah menduduki tangga ke-12 bila mana pelabur meyakini keupayaan ekonomi kita dan kecekapan jentera penyampaian awam.
Perdana Menteri turut menjangka kadar inflasi pada tahun ini sama seperti tahun 2022. Namun, akan lebih tinggi jika ketidaktentuan rantaian bekalan global tidak ditangani.
Perkara itu menjadi cabaran kelima yang dinyatakan sebagai tantangan ekonomi yang mengesankan rakyat. Pada tahun 2022, inflasi 2022 berada pada kadar 3.3 peratus dengan kadar inflasi makanan dicatat tinggi iaitu 5.8 peratus.
Sementara itu, kadar pengangguran pada tahun 2022 dicatat 3.6 peratus ketimbang 3.3 peratus sewaktu prapandemik tahun 2019. Pengangguran belia 25 tahun ke bawah masih melebihi 10 peratus dengan purata pendapatan belia juga rendah, sekitar RM1,700 pada 2021.
Perdana menteri menegaskan bahawa apa yang disebutkan itu ialah paparan secara jujur dan terang mengenai kemelut ekonomi yang kita warisi bersama.
Justeru, beliau berharap Belanjawan MADANI harus punyai keupayaan untuk menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga untuk menterjemah kebijakan baharu.
“Kendatipun begitu, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengajak pimpinan politik, pengemudi kementerian serta penjawat awam, selain para pengusaha dan rakyat untuk menerima kenyataan bahawa negara mampu mencipta lonjakan agar tatanan ini tidak hanya dapat diteladani negara tetangga serantau tetapi seantero dunia juga, dan pada masa sama membenih keyakinan dalam kalangan rakyat, kata Anwar.
Kerajaan Perpaduan dikemudi Anwar hari ini membentangkan Belanjawan 2023; memperuntukkan sebanyak RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.