(Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto Bernama)
KUALA LUMPUR, 24 Februari- Sejumlah RM150 juta disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dalam usaha mempertingkat kecekapan mengurus bencana dan memperkemas tahap kesiapsiagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara lain peruntukan itu untuk keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada rakyat yang terkesan.
"Prestasi pasukan penyelamat kita di Turkiye baru-baru ini amat cemerlang dan membanggakan.
"Kita berharap pencapaian ini dapat diterjemahkan dalam bentuk mempertingkat kecekapan mengurus bencana," katanya.
(Peruntukan disalur kerajaan dalam usaha mempertingkat kecekapan
mengurus bencana dan memperkemas tahap kesiapsiagaan/Foto Hiasan)
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan RELA juga disediakan RM50 juta bagi menyediakan peralatan dan aset untuk menghadapi bencana.
Tambah beliau, peranan komuniti turut diperkasa sebagai kumpulan awal ketika bencana.
Untuk itu, RM20 juta disediakan di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti untuk manfaat 2,000 persatuan penduduk.
Bagi memastikan projek tebatan banjir benar-benar mencapai matlamat, projek cakna rakyat dan berimpak tinggi mesti dilaksanakan secara tender agar dapat menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan mampu menjimatkan RM2 bilion daripada jumlah RM15 bilion tebatan banjir yang disediakan sebelum ini.
Untuk itu, enam projek tebatan banjir akan ditender semula dan perlu dilakukan segera, selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.
"Projek tersebut melibatkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Johor, Kota Tinggi; pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan," katanya.