fb fb fb fb fb

Belanjawan 2023: RM2.7 bilion bagi selenggara, naik taraf jalan persekutuan

(Foto Hiasan)

KUALA LUMPUR, 24 Februari- Peruntukan RM2.7 bilion disediakan kerajaan dalam Belanjawan 2023 bagi menyelenggara dan menaik taraf jalan persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejumlah RM1.5 bilion juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.

Dalam masa sama, bagi melaksanakan penyelenggaraan kecil, RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.

"Isu kemalangan jalan raya yang kian meningkat perlu segera ditangani. Lebih-lebih lagi jika disebabkan kelemahan prosedur kerajaan menyelesaikan masalah keselamatan jalan raya," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023: Membangun Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi isu jalan berlubang, khidmat Jurutera Daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan persekutuan serta pembaikan segera yang lain, berdasarkan aduan rakyat.

"Kerajaan menyediakan RM100,000 untuk setiap daerah," kata beliau.

(Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto Bernama)

Dalam pada itu, sejumlah RM50 juta diperuntuk untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan yang sering berlaku kemalangan.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan akan meningkatkan pemberian MARRIS yang bertujuan untuk menyelenggara jalan negeri kepada RM5.2 bilion.

"Kerajaan Persekutuan telah memberi kelonggaran termasuk membenarkan penggunaan MARRIS untuk membaiki dan mengganti jalan, jambatan dan longkang yang rosak akibat bencana," katanya.

Media Baharu